Maksud Kesantunan Bahasa Mengikut Pandangan Tokoh Terkemuka

            Kesantunan termaktub dalam ciri kemanusiaan yang mementingkan ketinggian moral, jati diri, dan pembentukan akhlak mengikut ragam negara, bangsa, falsafah, dan agama. Perkara ini amat penting dalam mencerminkan keperibadian diri, pemikiran, budi pekerti mulia dan budaya tinggi, bagi menunjukkan peradaban serta identiti sesebuah tamadun bangsa. Dalam masyarakat Melayu, unsur kesantunan amat penting supaya tidak dianggap sebagai seorang yang tidak berbudi bahasa dan biadap.  Menurut Kamus Dewan ( 1984 ), kesantunan bermaksud halus budi bahasa, budi pekerti, beradab, dan bersopan. Hal ini kerana, apabila seseorang itu berbahasa dengan penuh kesantunan maka perkara ini secara tidak langsung akan mendidik kita untuk mempraktikkan penggunaan bahsa yang halus supaya dapat menghidari berlakunya perselisihan faham antara penutur dengan pendengar semasa berkomunikasi.

            Selain itu, nilai kesantunan ini mempunyai kayu ukur yang tersendiri iaitu, dengan melihat aktiviti pergaulan seharian yang dilakukan oleh kita. Oleh itu, kita dapat menilai setinggi manakah nilai kesantunan yang terasuh di dalam jiwa kita, dari sudut yang pertama iaitu, penggunaan kata ketika bersosial dengan memilih perkataan yang sesuai dengan situasi dan topik perbincangan anatara penutur dan pendengar. Hal ini kerana, bahasa melambangkan perlakuan seseorang, maka, jika kita tidak berbudi dalam berbahasa, perkara ini akan menimbulkan stigma negatif masyarakat terhadap diri kita. Kedua, dilihat dari segi air muka dan nada yang digunakan seseorang ketika berhadapan dengan seseorang sama ada melontarkan nada yang tinggi yang menunjukkan kemarahan atau nada yang rendah yang menunjukkan nilai kesopanan. Hal ini demikian, melalui aspek ini kita dapat mengenal pasti emosi yang hadir dalam diri seseorang itu yang mungkin mengalami konflik dengan kita ketika bercakap mahupun dia sedang mengalami masalah yang disebabkan oleh kecelaruan perasan atau tekanan yang terlalu tinggi sebelum, semasa atau selepas berbicara dengan kita. Ketiga, dinilai melalui penampilan luaran kita kerana orang yang mempunyai nilai kesantunan akan menitikberakan aspek pemakaian yang sesuai dan beradab semasa ingin berjumpa dengan seseorang untuk berbual. Jika mereka memakai pakaian yang tidak kemas, menampakkan susuk badan serta mempunyai elemen keganasan, maka perkara ini akan menyebab orang di sekeliling kita tidak selesa dengan kehadiran kita di suatu tempat. Keempat, dipandang melalui mimik muka, gerakan tangan, dan bahasa tubuh yang dilakukan oleh seseorang ketika bercakap. 

            Perkara ini amat penting bagi mempamerkan nilai menghormati ketika berhubung dengan seseorang. Sekiranya kita menampilkan reaksi yang tidak sopan ketika seseorang sedang bercakap dengan kita, kesannya akan timbul perasaan dalam diri mereka bahawa kita tidak berminat, menghormati, serta memberikan tumpuan semasa perbualan sedang berlangsung. Oleh itu secara holistiknya, sekiranya diri kita berazam untuk menjadi seorang insan yang memiliki nilai kesantunan yang sempurna. Justeru, kita seharusya sudah mengamalkan aspek kesantunan dalam kehidupan seharian kita berpandukan konsep berbudi bahasa, beristiqomah dalam kesantunan berbahasa, menerapkan bentuk dan jenis kesantunan yang sebenar, mematuhi peraturan dalam berbahasa serta merancang strategi kesantunan yang betul.

            Pertama, menurut Awang Sariyan ( 2007 ), telah mendefinisikan kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi yang mulia, dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Aspek kesantunan yang ditekankan oleh beliau adalah kesantunan ketika bercakap antara dua orang pihak. Sebagai contohnya adalah, dengan tidak menyelitkan perkataan kesat dan kurang sopan seperti mencarut, menghina atau mengeluarkan unsur sensitif terhadap pendengar. Perkara sebegini akan menyebabkan para pendengar memandang serong terhadap gaya percakapan kita. Hal ini kerana, dengan bertutur sahaja, masyarakat dapat menilai keperibadian kita dari segi aspek kesantunan lisan formal dan tidak formal sama ada ketika berhadapan dengan khalayak umum mahupun kelompok yang kecil. Sebagai penutur yang yang berbudi bahasa, kita mestilah bercakap secara berlapik dan mempraktikkan bahasa yang lemah lembut dengan mengambil kira keadaan emosi pendengar, agar mereka berasa selesa dan dihormati oleh penutur. Oleh itu, para pendengar akan menghormati penutur yang sedang berbicara, disebabkan nilai kesantunan berbahasa yang disampaikan oleh penutur ke telinga pendengar yang sangat berkesan.

            Kedua, menurut DR. Asmah HJ. Omar ( 2000 ), telah mentakrifan kesantunan sebagai  satu kaedah atau strategi yang digunakan oleh penutur untuk mencapai tujuan tertentu yang dikaitkan dengan tingkah laku dan tutur kata penuh santun yang perlu diikuti. Aspek kesantunan yang ditekankan oleh beliau adalah, kesantunan individu dalam menunjukkan nilai kesantunan kepada masyarakat sekeliling agar mereka dapat jadikan kita sebagai suri teladan. Sebagai contohnya adalah, peranan ibi bapa dalam sebagai ketua keluarga dalam menampilkan sifat-sifat terpuji dihadapan anak-anak. Hal ini kerana, apabila mereka bercakap menggunakan bahasa yang beradab dan sopan degan seluruh masyarakat seperti menegur jiran dengan cara memberi salam dan menanyakan khabar, dan menunjukkan tingkah laku yang sopan ketika bersosial seperti menekan loceng atau mengetuk pintu terlebih dahulu sebelum memasuk ke rumah jiran untuk menziarah. Oleh itu, anak-anak akan menghayati perbuatan ibu bapa mereka melalui pemerhatian dan secara automatik mereka akan menuruti segala tingkah laku yang ditonjolkan oleh ahli keluarga mereka. Maka, secara tidak langsung kita dapat melatih jiwa anak-anak kita untuk mengamalkan budaya kesantunan dalam hidup bermasyarakat.

            Ketiga, menurut tokoh China Gu ( 1990 ), telah menyebut bahawa masyarakat China memandang kesantunan bukan hanya merupakan instrumen tetapi lebih kepada norma dalam mewujudkan keharmonian sosial. Aspek kesantunan yang digariskan oleh beliau adalah ingin mengajar masyarakat dunia cara untuk menghayati nilai kesantunan yang sebenar dalam diri dengan cara mempraktikkannya dalam kehidupan seharian, dan bukannya hanya sekadar ilmu yang diterima untuk dibelajar dan diketahui sebagai pengetahuan asas. Sebagai contohnya adalah, dasar Rukun Negara yang telah ditubuhkan  pada 31 Ogos 1970, disebabkan oleh Tragedi 13 Mei 1969 iaitu peristiwa rusuhan antara kaum yang terburuk dalam sejarah negara setakat ini. Dasar ini adalah bertujuan bagi menyatukan kembali hati rakyat berbilang kaum di negara kita pada masa itu yang terburai, bagi membentuk satu perpaduan masyarakat yang utuh. Maka, setiap rakyat Malaysia mestilah mengamalkan lima prinsip ini supaya keamanan yang telah kita capai sepanjang 60 tahun kemerdekaan ini tidak musnah. Oleh itu, setiap masyarakat di negara kita mestilah menyemai segala nilai positif yang dipelajari sama ada di dalam agama, pendidikan atau budaya dalam kehidupan seharian supaya segala ilmu kebaikan yang diasuh tidak dipersiakan dengan begitu sahaja.

            Keempat, menurut Aristotle ( 1923 ), beliau telah menjelaskan bahawa perkara yang meninggikan darjat seseorang ialah akal dan adabnya, bukan asal keturunannya kerana, adab dan sopan itu lebih penting daripada makan dan minum. Aspek kesantunan yang ingin disampaikan oleh beliau adalah martabat seseorang manusia diukur berdasarkan adab dan perlakuannya dan aspek ini adalah perkara yang paling bernilai sekiranya kita memilikinya. Sebagai contohnya adalah, adab kita ketika berhadapan dengan seluruh masyarakat tanpa mengira situasi dengan menggunakan pemikiran dalam mencari cara untuk bersikap baik kepada mereka. Contohnya adalah, ketika kita melihat orang yang lebih memerlukan untuk duduk di atas kerusi semasa dalam pengangkutan awam, maka kita seharusnya memberikan tempat duduk kita kepada mereka. Walaupun perkara ini dipandang remeh dan kecil di mata kita, namun perkara ini dapat mendatangkan impak yang sangat besar kepada anggota masyarakat sekeliling untuk turut bersikap prihatin kepada orang lain. Oleh itu, nilai kesantunan ini sangat mudah untuk dilakukan, namun amat sukar bagi diamalakan oleh kita, dan disebabkan itulah individu yang melaksanakannya akan disegani oleh orang ramai.

            Kelima, mengikut konsep Confucius ( 1905 ), kesantunan merupakan konsep yang digunakan dalam kehidupan seharian. Dalam konsep ini terdapat beberapa sifat yang disarankan supaya dimiliki oleh manusia iaitu ketaatan kepada ibu bapa, kasih sayang, menghormati orang lain, patuh, sopan santun, dan melakukan kebajikan. Terdapat pelbagai ciri yang ditekankan oleh beliau, sekiranya kita ingin menjadi seorang insan yang memiliki nilai kesantunan yang luar biasa. Maka, dalam menbentuk nilai rohaniah dan insaniah, kita mestilah bermula di rumah dengan mentaati segala arahan baik yang diberikan oleh ibu bapa kita, sebagai tanda kita mematuhi dan menghormati ajaran murni diajar oleh mereka sepanjang membentuk diri kita menjadi anak yang berguna. Kita juga turut diseru bagi menyemai perasaan kasih sayang terhadap apa jua yang berada disekeliling kita seperti haiwan, manusia, dan alam sekitar. Jika kita menjaga hubungan baik kita dengan ciptaan Tuhan dan sesama manusia, kita sebenarnya sudah berjaya menjadi insan yang memiliki nilai moral yang tinggi. Hal ini kerana, perasaan kasih sayang merupakan senjata yang dapat memelihara diri kita daripada sifat kekejaman. Apabila kita menghormati orang lain, diri kita juga akan dihormati oleh orang ramai kerana sifat kita yang mendahului orang lain daripada diri sendiri, dengan berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dan bukannya menunggu masa orang lain untuk berbuat baik kepada kita. Nilai kepatuhan pula, sepatutnya muncul secara semulajadi dalam diri kita sebagai rakyat yang hidup dalam negara yang mempunyai sistem perundangan. Hal ini kerana, dalam menjadi seorang rakyat yang taat kepada negara, kita sewajarnya menuruti segala perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara bagi memartabatkan prinsip Rukun Negara yang ketiga iaitu, keluhuran perlembagaan. Sifat sopan santun juga merupakan aspek kesantunan utama yang wajar diamalkan dalam diri kita, bagi menunjukkan nilai kesopanan dalam perlakuan dan percakapan. Akhir sekali, adalah melakukan amal kebajikan kepada orang yang memerlukan kerana, kita bukan membantu dengan sekadar memberikan wang, namun kita turut menyumbang tenaga dalam meringankan kesusahan yang ditanggung oleh orang lain.


Sekian, Terima Kasih.